07.02.2010
Saya akan bekerja sambilan sebagai penterjemah di UM untuk ISI Publications mereka. Jika saya gagal mendapatkan kerja sepenuh masa yang lain selepas tamat belajar, saya akan bekerja sepenuh masa sebagai penterjemah di sana untuk beberapa ketika sehingga saya diterima bekerja ditempat lain. Jika saya mendapat tawaran kerja yang lain, saya tetap akan bekerja sebagai penterjemah sambilan kerana saya suka kerja kerja menterjemah kerana ilmunya tapi tekanan kerana prosesnya. Saya sangat bersemangat ni. Saya memang ada merancang untuk mengambil diploma/sijil menterjemah di masa hadapan supaya saya dapat mencari wang saku sampingan.
Pihak UM akan menghantar surat perlantikan pada hari isnin ini. Mengenai gaji, akan dibincangkan kemudian. Saya tidak berkira kerana pengalaman dan ilmu yang saya cari. Ok, Saya tidak jujur, saya ada nak beli barang barang juga. Tetapi untuk terjemahan pertama saya yang perlu saya lakukan sebelum saya diterima sebagai penterjemah, ia akan dibayar mengikut kadar harga didalam blog readingyouressay tu. Ya, saya pautkan blog tersebut didalam resume saya. Pathetic kan? Untuk proses permohonan, saya disuruh menterjemah artikel dari API (Akademi Pengajian Islam) yang bertajuk Teori Hermeneutik sebanyak 21 muka surat daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Perkara yang saya suka mengenai menterjemah ialah dapat menambah ilmu. Sekarang saya sudah faham sedikit mengenai teori yang pertama kali saya dengar itu. Ialah, untuk menterjemah kita perlu memahami teks tersebut.
Saya amat terdesak untuk mendapatkan kerja sebaik sahaja tamat belajar. Ini kerana jika saya menganggur di rumah saya, abah akan menawarkan saya kerja sebagai guru sekolah. Tambahan pula, kaklong bekerja di Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Sekarang ini, memang banyak kekosongan sebagai guru bahasa di pendalaman Perak. Bukan saya tidak berminat. Kerjaya itu mulia, tapi saya tidak yakin dapat mendidik anak watan Perak dengan baik. Tambahan pula jika saya berakhir dengan menjadi guru, baik saya terima sahaja tawaran daripada Maktab Perguruan dahulu, tidak perlu saya sorokkan surat tawaran daripada mak dan saya mungkin sedikit kaya sebab pelajar maktab dapat elaun banyak.
Disini, saya berjanji tidak akan mengabaikan pelajaran saya walaupun saya sudah hampir mempunyai kerjaya. Nanti kalau kena mengulang kertas macam mana? T_T Oh! Tidak mahu. Disini saya juga ingin berterima kasih kepada mak dan abah serta keluarga kerana doa yang didoakan kepada saya dan juga teman lelaki kerana semangat yang diberikan serta tidak dilupakan sahabat handai yang banyak menyedarkan saya bahawa saya mampu pergi jauh. Semuanya tidak putus ibarat air mengalir di sungai congkak. saya terharu.
Ok. perlu belajar sekarang!